Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Isnin, 15 Julai 2013

Review Buku Aisyah Ummul Mukminin; Keanggunan Sejati



Tajuk Buku : Aisyah Ummul Mukminin; Keanggunan Sejati
Tajuk Asal : Seerah Sayyidah 'Aisyah Ummul Mukminin
Penulis : Sulaiman An-Nadawi
Terbitan (terjemahan) : PTS Millennia Sdn. Bhd
Tebal : 415 muka surat

Buku ini bersifat bukan fiksyen, dengan gaya penceritaan yang lebih kepada sejarah serta sarat dengan himpunan hadis. Terbahagi kepada 5 bab penting. Buku ini, tidaklah sesuai menjadi rujukan sepenuhnya tentang isteri Rasulullah ini.

Namun, apa yang penting, buku ini berjaya mengenalkan kepada pembaca tentang keistimewaan sosok ini. Serta menjadi titik permulaan untuk mengkaji perkara yang berkaitan sosok ini.

Selain itu, buku ini berjaya menerobos minda pembaca untuk lebih memahami peranan seorang wanita dalam membangun ummat. Mungkin juga, menjadi pembakar semangat untuk wanita sama-sama melangkah kaki seiring dengan tokoh yang ada dalam bidang Tafsir, Fikah, Hadis dan lain-lain.

Bab 1 : Sejarah Hidup Aisyah

Dalam bab ini, kita akan dikenalkan dengan latar belakang beliau. Bagaimana dan daripada siapa didikan yang diterimanya sehingga beliau berjaya menjadi sosok hebat. Diceritakan kepada pembaca kehidupan beliau daripada lahir hingga menemui Ilahi.

Turut diceritakan, hubungan Aisyah dengan Isteri Rasulullah yang lain. Istimewanya bab ini, dibawakan juga peristiwa-peristiwa penting pada zaman Rasulullah yang dikaitkan dengan Aisyah dan juga peranan Aisyah dalam siyasah.

Bab 2 : Karakter dan keistimewaan Aisyah
                           
Bab yang pendek ini menceritakan tentang ciri-ciri fizikal dan akhlak yang ditonjolkan oleh isteri Rasulullah ini. Membawa kita mengenal peranan sebagai seorang wanita, isteri dan manusia. Serta diceritakan beberapa keistimewaan sosok ini.

Bab 3 : Biografi Intelektul Aisyah
                             
Kiranya, bab ini merupakan bab yang terpenting mengenali kehebatan sosok ini dalam bidang ilmu pengetahuan. Pengetahuannya yang luas dalam bidang Quran, Hadis, ilmu Fikah dan Qiyas, ilmu Tauhid dan Akidah, rahsia syariat dan juga dalam bidang Perubatan, Sejarah, Pidato dan Syair.

Di sini, kita akan mengenali sosok ini mempunyai minda yang tajam dalam Ilmu Tafsir dan antara tokoh yang terbanyak meriwayatkan hadis Rasulullah. Istimewanya, beliau bukan hanya mampu meriwayatkan hadis tapi memahami logik hadis dengan baik.

Rabu, 26 Jun 2013

Kertas Kerja; Persenyawaan Luar Rahim & Masa Depan Global



Kertas kerja ini telah digunakan untuk program seminar Fiqh Medik, Persatuan Mahasiswa Irbid (PERMAI), yang berlangsung pada 15 Mac 2012.

Kertas kerja ini telah disediakan oleh (Tahun pengajian merupakan tahun ketika pembentangan);

Farah Aisyah binti Ahmad, Tahun 1, Ijazah Sarjana Muda Usul Fiqh.
Madihah binti Md Yusoff, Tahun 1, Ijazah Sarjana Muda Usul Fiqh.
Asilah binti Aripin, Tahun 1, Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran.
Nur Husna binti Ismail, Tahun 1, Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran.
Nurul Nasuha binti Mohamad Zawawi, Tahun 1, Ijazah Sarjana Muda Pergigian.

dan dipantau oleh;

Jumaat, 31 Mei 2013

Angan-angan seorang wanita


Sebagai seorang wanita,
Pasti hatimu berdetak,
Punya angan-angan,
Mahu menjadi isteri seorang pejuang,
Mahu menjadi ibu pejuang-pejuang agama.

Berkobar-kobar di hati,
Ingin menjadi sayap kiri, 
Yang senantiasa setia,
Memberi sokongan dan dokongan,
Walau terpaksa dilambung ombak samudera.

Oh, petahnya dirimu berangan-angan,
Sedarilah, langit yang dilihat dekat,
Sukar sekali dicapai, 
Sedarilah, warna warni pelangi,
Bisa pudar sekelip mata,
Sedarilah, alam mimpi itu,
Manakan sama dengan realiti.

Mana mungkin,
Hati kecilmu tidak cemburu, 
Saat masa, tenaga, harta dan nyawa,
"Si pejuang" impianmu itu, 
Dilebihkan pada perjuangannya,
Bukan pada dirimu.

Selasa, 21 Mei 2013

Gajah di hadapan tak nampak, Semut juga di suluh [1]

Kenali Potensi Diri

"Kak Aisyah, seronok tak duduk di Jordan?" Ini antara soalan biasa yang diajukan oleh adik-adik lepasan SPM.

"Seronok, bagi pencinta Ilmu." Bukan niat mahu menyindir. Tapi, inilah jawapan yang pernah diberikan kepada saya satu ketika dahulu.

Kini, saya di Jordan. Dan saya sendiri melihat, Jordan ini sangat menyeronokkan bagi sang pencinta Ilmu.

Bidang pengajian dan Tempat

Bukanlah saya menghalang untuk adik-adik menuntut ilmu di sini. Cuma, ada baiknya sama-sama kita muhasabah kembali, kenapa kita mahu datang ke sini? Mencari tujuan dan matlamat.

"Kos Farmasi di Jordan, tak diiktiraf eh?"

"Kalau macam tuh, saya pilih syariahlah."

Aduh. Jauhnya farmasi tersesat ke syariah. Demi Jordan, sanggup digadaikan minat dan kecenderungan. Bahkan, kita mungkin bakal memenjarakan potensi diri!

Pada saya, jangan sesekali digadaikan minat dan kecenderungan yang wujud dalam diri. Bahkan, jangan menyekat potensi diri hanya kerana tempat. Ia satu perkara yang sangat merugikan.

Bukan hanya merugikan diri sendiri. Tapi ia bakal merugikan ummat kerana kehilangan para saintis, doktor, farmasis, ahli fizik dan lain-lain yang jelas tujuannya serta pakar dalam bidang tersebut.

Orang Agama dan Orang beragama

Orang kita hari ini, sudah semakin keliru dengan dua istilah ini. Terutamanya, para ibu bapa yang selalu suka menentu dan mengawal kehidupan (baca: cita-cita) anak-anak. Sehingga menyekat potensi yang ada dalam diri anak-anak.

Ramai ibu bapa yang jatuh hati melihat ke'soleh'an para ustaz. Terdetiklah di hati mereka mahu memiliki anak yang menjadi ustaz. Disuruh si anak belajar agama tanpa mengambil endah tentang minat si anak.

Akhirnya, jadilah si anak, orang yang belajar agama tapi bukan orang beragama.

Begitulah juga situasinya, apabila ibu bapa hari ini sering kali membuat keputusan untuk menghantar anak-anaknya yang rosak akhlak ke Tahfiz mahupun pondok.

Bagaimana mungkin, orang yang sakit fizikalnya di hantar ke Kuliah Perubatan. Bukan ke Hospital?

Isnin, 20 Mei 2013

Nuh dan Hakikat Kehambaan

Alhamdulillah, hampir seminggu sudah pembedahan kedua saya berlalu. Setiap kali, rakan-rakan menziarahi saya, suka saya cadangkan pada mereka untuk membaca buku Di Hamparam Shamrock; Ku Seru Nama-Mu, tulisan Ustaz Hasrizal.

Pelbagai ekspresi perasaan yang saya alami ketika membaca buku ini. Terkadang tergelak sendirian, kemudian menangis, berdebar dan mungkin juga 'bengang'.

Kerana penulis berjaya, membawa saya turut berlari dalam buku tersebut. Saya rasakan, itulah saya!

Walaupun saya dan penulis berlainan peristiwa, pengalaman serta suasana Jordan yang sudah banyak berubah. Tapi, di sana ada satu persamaan.

Kita semua Abdullah (Hamba Allah)!

Hakikat sebuah kehambaan

Dalam soal ini, ada baiknya kita renungi, bagaimana Allah mengajarkan pada Nabi Nuh 'alaihissalam tentang hakikat sebuah kehambaan. Kisah ini dirakamkan dalam Surah Hud ayat 45-48.

Ketika mana, Kaum Nabi Nabi Nuh dikenakan azab. Dan keadaan sudah kembali tenang, timbullah perasaan kasih seorang ayah dalam diri Nuh apabila Allah tidak menyelamatkan anaknya. Allah merakamkan doa Nuh;

وَنَادَى نُوحٌ رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنْتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri dan bahawa janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. (45)  

Dapatlah kita lihat, Nuh seakan-akan menuntut janji Allah terhadap dirinya. Engkau dah janji, mahu selamatkan keluarga aku, tapi anak aku telah terkorban.

Namun, dalam rayuan Nuh ini, Nuh masih sedar, yang sifat janji Allah itu benar. Dan Allah akan memutuskan setiap perkara dengan penuh bijaksana.

Lalu Allah menjawab doa Nabi Nuh;

قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلَا تَسْأَلْنِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ


Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil. (46)

Allah mengingatkan kepada Nuh sesuatu yang telah dilupainya. Iaitu, hakikat 'keluarga' menurut Allah. Keluarga yang dimaksudkan oleh Allah, bukanlah keluarga daripada nasab keturunan. Akan tetapi keluarga daripada tali akidah.

Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh,

Oleh sebab, kata-kata Nuh sebelum ini, ibarat Allah tidak menunaikan janji-Nya. Lalu, Allah memberi peringatan pada Nuh;

maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.

Allah ingatkan Nuh, janganlah engkau memilih tergolong dalam mereka yang tidak mengerti hakikat janji Allah dan cara pelaksanaannya.

Sebenarnya Allah sudah menunaikan janji-Nya, jauh lebih baik daripada yang dipinta oleh Nuh. Allah selamatkan, mereka yang beriman sedangkan anaknya kufur. Dan itulah keluarga sebenar Nuh.

Isnin, 29 April 2013

Rumusan Pengajian Mingguan; Syarah Kitab Ahkam Nisa' oleh Prof. Uqlah [28 April 2013]

InsyaAllah, selepas ini, saya akan cuba mengemas kini Pengajian Mingguan Syarah Kitab Ahkam Nisa' oleh Prof Uqlah Ibrahim di blog saya. Profesor Uqlah Ibrahim merupakan Ulama' Fiqh Jordan. 

Pengajian ini, bukan hanya sesuai untuk perempuan, tapi juga buat lelaki. Sarat dengan pesanan dan juga Ilmu. 

Tajuk pengajian semalam, pada awalnya, saya sangka bab ini langsung tidak ada kaitan dengan zaman sekarang. Namun, perhatikan bagaimana Doktor mengaitkannya dengan keadaan semasa (Fiqhul Waqi'). Dan betapa hebatnya, bahaya hari ini, telah disebutkan oleh Rasulullah pada 1400 tahun yang lalu. 

Saya mohon maaf, buat teman yang meminta saya membuat ringkasan bagi setiap kelas pengajian. Kerana saya masih tidak mampu untuk melaksanakannya. InsyaAllah akan cuba diusahakan. 

Berikut rumusan pengajian semalam (secara umum) oleh Siti Fatimah Ismail. Pengajian penuh boleh ikuti di sini.


1. Hendaklah orang beriman menutup aurat dengan diri sendiri walaupun di dalam tandas. Iaitu dari pusat hingga lutut.

2.Suami tidak boleh membenarkan isteri memasuki tempat-tempat mandi awam atau tandas awam yang bercampur lelaki dan perempuan)

3. Kita perlu jauhkan diri dari tempat-tempat atau majlis yang di dalamnya ada meminum arak. Hadith yg selemah-lemah iman itu, mencegah dengan hati bukan sekadar berkata "aku tak redha atau benci" tetapi perlu meninggalkan terus majlis yang ada kemaksiatan tersebut.

4. Berkira-kiralah berapa banyak kita bercakap setiap hari dan apa yang dicakapkan, kerana kita akan

dipertanggungjawabkan di akhirat. Bercakap baik, atau diam. Paling ramai manusia yang dimasukkan ke dalam neraka kerana lisan.

5.Pada zaman Rasulullah yang orangnya baik-baik sudah dipesan jangan dibiarkan isteri/ perempuan bercampur dengan lelaki kerana aurat, fitnah dan sebagainya, sedangkan zaman itu tiada kamera handset dan lain-lain. Maka apatah lagi zaman sekarang yang canggih dan banyak kefasadan yang berlaku, kemungkinan sahaja ada kamera diletakkan di mana-mana ;hotel, bilik salin pakaian di kedai, atau tandas.

Sabtu, 27 April 2013

Kembara dalam Tangisan [Siri 3]



Berbahasa Inggerislah, Ustaz, Ustazah!

“Please describe, how you feel? There’s something……” salah seorang doktor arab bertanya kepada saya.

“Akak, saya rasa macam…bla…bla…bla…” panjang lebar saya memberi jawapan dalam Bahasa Melayu, bukan kepada doktor, tapi kepada kak Dila.

“Oh, okay doctor, she’s feel like…bla…bla…bla…” kak Dila pula menceritakan jawapan saya kepada doktor.

“Haha! Why she can’t tell us by herself?”

Ketawa kumpulan doktor di situ melihat gelagat kami. Bercakap 3 penjuru!

******

“Kam Umrik?” Soal seorang doktor, menenangkan saya di bilik bedah.

“Nineteen.”

“What is your weight?”

“Thalathu sittin kilo.”

“When you ask her in english, she reply in Arabic and vice versa. Haha!” Semua doktor di bilik bedah itu, ketawakan saya.

Aduh!

Begitulah Bahasa Inggeris saya di Dataran Syam ini. Teruk.

Inilah padahnya, belajar di Negara orang. Tapi hampir 24 jam berkepit dengan orang yang satu negara. Bahasa Arab pun cukup makan, bahasa International pula, hancur!

Bahasa Inggeris dan Asatizah

Persinggahan yang sebentar di Pusat Asasi UIAM, menyedarkan saya. Bahasa yang saya tidak suka ini, sebenarnya sangat penting!

Satu bonus buat para Asatizah.

Kefasihan para asatizah di UIA berbahasa Inggeris, mengagumkan saya. Kebolehan mereka bukan sahaja mampu mengajar subjek agama sepenuhnya dalam Bahasa Arab. Tapi, mampu juga mengajar sepenuhnya subjek agama dalam Bahasa Inggeris.

Saya, sebagai pelajar pula kepeningan. Mempelajari subjek asas agama dan Tafsir al-Quran dalam Bahasa Inggeris. Sekejap-kejap buka kamus. Kalau belajar dalam Bahasa Arab, saya yakin, kamus pun tidak akan dibelek sebanyak ini!

Bukan kamus Oxford hitam oren yang biasa digunakan ketika di sekolah menengah. Tapi, kamus Oxford for Student International yang terpaksa digunakan.