Tajuk Buku : Aisyah Ummul Mukminin; Keanggunan Sejati
Tajuk Asal : Seerah Sayyidah 'Aisyah Ummul Mukminin
Penulis : Sulaiman An-Nadawi
Terbitan (terjemahan) : PTS Millennia Sdn. Bhd
Tebal : 415 muka surat
Buku ini bersifat bukan fiksyen, dengan gaya penceritaan
yang lebih kepada sejarah serta sarat dengan himpunan hadis. Terbahagi kepada 5
bab penting. Buku ini, tidaklah sesuai menjadi rujukan sepenuhnya tentang
isteri Rasulullah ini.
Namun, apa yang penting, buku ini berjaya mengenalkan
kepada pembaca tentang keistimewaan sosok ini. Serta menjadi titik permulaan
untuk mengkaji perkara yang berkaitan sosok ini.
Selain itu, buku ini berjaya menerobos minda pembaca
untuk lebih memahami peranan seorang wanita dalam membangun ummat. Mungkin
juga, menjadi pembakar semangat untuk wanita sama-sama melangkah kaki seiring
dengan tokoh yang ada dalam bidang Tafsir, Fikah, Hadis dan lain-lain.
Bab 1 : Sejarah Hidup Aisyah
Dalam bab ini, kita akan dikenalkan dengan latar belakang
beliau. Bagaimana dan daripada siapa didikan yang diterimanya sehingga beliau
berjaya menjadi sosok hebat. Diceritakan kepada pembaca kehidupan beliau
daripada lahir hingga menemui Ilahi.
Turut diceritakan, hubungan Aisyah dengan Isteri
Rasulullah yang lain. Istimewanya bab ini, dibawakan juga peristiwa-peristiwa
penting pada zaman Rasulullah yang dikaitkan dengan Aisyah dan juga peranan
Aisyah dalam siyasah.
Bab 2 : Karakter dan keistimewaan Aisyah
Bab yang pendek ini menceritakan tentang ciri-ciri
fizikal dan akhlak yang ditonjolkan oleh isteri Rasulullah ini. Membawa kita
mengenal peranan sebagai seorang wanita, isteri dan manusia. Serta diceritakan
beberapa keistimewaan sosok ini.
Bab 3 : Biografi Intelektul Aisyah
Kiranya, bab ini merupakan bab yang terpenting mengenali
kehebatan sosok ini dalam bidang ilmu pengetahuan. Pengetahuannya yang luas
dalam bidang Quran, Hadis, ilmu Fikah dan Qiyas, ilmu Tauhid dan Akidah, rahsia
syariat dan juga dalam bidang Perubatan, Sejarah, Pidato dan Syair.
Di sini, kita akan mengenali sosok ini mempunyai minda
yang tajam dalam Ilmu Tafsir dan antara tokoh yang terbanyak meriwayatkan hadis
Rasulullah. Istimewanya, beliau bukan hanya mampu meriwayatkan hadis tapi
memahami logik hadis dengan baik.
Penguasaannya dalam Ilmu Fikah mangagumkan, sehingga Ibn Hazm dan Ibn Qayyim ada menyebut; Andai dihimpun fatwa
yang dikeluarkan Aisyah, pasti menghasilkan
buku yang sangat tebal.
Bahkan, sosok ini sering kali
menjadi rujukan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah.
Bab 4 : Aisyah mendidik,
Memberi Fatwa dan Membimbing Orang Islam
Aisyah juga berperanan
mendidik anak muridnya menjadi ulama. Kemudian, anak muridnya pula menjadi
rujukan para tabi’ tabi’in. Di sini, kita akan menjumpai beberapa orang ulama
yang pernah belajar dengan anak murid Aisyah yang perempuan.
Kita juga akan dihidangkan
dengan fatwa yang dikeluarkan Aisyah di zaman khalifah Rasyidin. Jelaslah,
beberapa perbezaan fatwa Aisyah dengan fatwa sahabat-sahabat yang lain. Dan
ada, beberapa fatwa Aisyah yang lebih logik dan bernas untuk diterima.
Bab 5 : Jasa Aisyah kepada Perempuan
Dalam bab ini, kita akan lebih jelas tentang peranan
Aisyah dalam memperjuangkan hak-hak wanita. Dan juga kedudukan Aisyah
berbanding wanita lain di dunia.
Penutup
Aisyah Ummul Mukminin merupakan ikon yang sangat wajar
untuk di contohi terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan. Kefaqihannya dan
kegigihannya dalam menyebarkan ilmu serta membangunkan ummat Islam bukan untuk
disimpan dalam tirai sejarah.
Tapi, untuk diikuti oleh generasi hari ini. Moga selepas ini, akan lahir ramai tokoh persis beliau, insyaAllah.
Bersama kita menyelami Fiqh Aisyah dan Fiqh Wanita dalam
erti kata sebenar!
P/S: Review buku kali ini ringkas sahaja, kerana review ini disediakan untuk JKK Pembangunan Minda & Kendiri, PERMAI. Panjangnya telah dihadkan. InsyaAllah, seandainya berpeluang selepas ini, akan ditulis tentang sosok ini secara ilmiah. Doakan!
1 ulasan:
Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa arab dan diterjemah kedalam pelbagai bahasa.. Tajuk asal dalam bahasa arab "Seerah Sayyidah 'Aisyah Ummul Mu'minin r.ha".
Catat Ulasan