Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan dan Penghayatan al-Quran

Alhamdulillah pada hari ini Allah Taala berikan kesempatan kepada kita semua untuk menyambut kedatangan tetamu yang mulia ini yakni bulan Ramadhan. Petang tadi, di kedai print terjumpa 3 artikel Ramadhan yang saya draf 2 tahun lepas dalam pendrive, tak di sangka-sangka masih ada. Lalu saya print 1 daripadanya dan 2 lagi berhasrat untuk membaca kembali dalam laptop. Namun, agak kecewa laptop tak dapat baca file tersebut. Saya kongsikan satu artikel yang saya draf 2 tahun lepas, hasil pembacaan artikel dalam akhbar yang boleh dipercayai =) .


Seorang ulama' menerangkan bahawa fokus utama Ramadhan ialah penurunan al-Quran yang mempunyai maksud yang amat besar. Namun katanya lagi, selama ini kita banyak berkisar kepada puasa, solat terawih, cara solat witir. Sedangkan fokus utama penurunan al-Quran mempunyai maksud yang jauh lebih besar. 

Al-Quran diturunkan sebagai panduan untuk menegakkan suatu sistem hidup yang luhur agar masyarakat secara global memperakui Tuhan yang satu, serta tidak berpecah belah. 

Betapa kurangnya hari ini suasana al-Quran di negara kita Malaysia baik di bulan Ramadhan apatah lagi di bulan-bulan lain. Agak sukar untuk kita melihat di kaki-kaki jalan mahupun di mana sahaja orang yang membacanya. Bahkan berapa ramaikah umat Islam negara ini yang mampu membaca al-Quran dengan baik? Suasana Ramadhan di Malaysia adalah suasana membuat persiapan hari raya.

Kita hanya mengharapkan warga emas yang bertadarus di masjod-masjid apabila tibanya Ramadhan, itupun berapa kerat sahaja? Di manakah anak-anak muda kita yang cergas? Hanya mengharapkan pelajar-pelajar Tahfiz yang membacanya tidak cukup. Semoga ruh al-Quran dapat kita bawakan dalam diri kita kerana siapa lagi kalau bukan kita yang akan menghidupkannya???

Mengapa ia terjadi?

Hal ini berlaku di Negara kita kerana kurangnya penghayatan al-Quran dalam diri masyarakat kita hari ini. Jadi mari kita sama-sama menghayati agama dengan memperingat diri dengan riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadhan dengan penghayatan al-Quran.

Riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadhan dengan penghayatan al-Quran

Forman Allah Taala yang bermaksud : "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)." (2 : 185)

Menurut satu riwayat Ibnu Abbas r.a, ia berkata bahawa Rasulullah adalah sebaik-baik manusia, baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadhan ketika mana Jibrail menemuinya pada setiap malam pada bulan Ramadhan lalu mengajarkannya al-Quran. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Maka Ramadhan itu sendiri dikhususkan untuk baginda bertadarus dengan Jibrail, di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibrail. Pada setiap tahun, baginda murajaah ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan dalam tempoh setahun sebelumnya. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa pada tahun kewafatan Rasulullah memperdengarkan al-Quran kepada Jibrail sebanyak 2 kali khatam. Berdasarkan ini juga para ulama' berpendapat mengkhatamkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan adalah bersesuaian dengan syarak.

Dengan ini, adalah sunat bagi setiap Muslim untuk membaca al-Quran pada bulan Ramadhan dengan sekali khatam ataupun lebih. Menurut riwayat at-Tirmizi dan Ahmad bin Hambal adalah sunat mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap bulan. Manakala Imam Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta', bagi sesiapa yang mampu, maka dikhatamkan seminggu sekali. 

Imam Malik sendiri apabila memasuki bulan Ramadhan, beliau akan meninggalkan bacaan hadis samaada untuk mengajar ataupun meriwayatkannya. Beliau akan memperbanyak bacaan al-Quran.

Begitulah juga para Ulama' daripada kalangan Salaf as-Solihin ada dikalangan mereka yang mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap tiga malam. Sehinggakan pada akhir Ramadhan mereka mengkhatamkan pada setiap malam.

Namun bukanlah semata-mata khatam al-Quran itu menjadi keutamaan. Al-Quran itu, hendaklah dibaca dengan bertadabbur untuk memahami ajaran yang terkandung di dalamnya dan Allah juga memerintahkan Rasulullah secara tartil.


Madrasah Ramadhan yang kita lalui mengajar kita bahawa :-

1. Mengikut dan mengamalkan apa-apa yang diperintah Allah di dalam al-Quran sebagai sumber manhaj Rabbani itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.

2. Ikutan dan amalan itu hendaklah dilakukan oleh orang perseorangan dan kerajaan menurut bidang kuasa yang telah ditetapkan.

3. Manusia samaada perseorangan atau kerajaan, yang mengamalkan sebahagian dan meninggalkan yang sebahagian tuntutan al-Quran adalah satu perbuatan yang murkai oleh Allah.

4. Manusia mestilah mempelajari, al-Quran itu samaada di sudut pembacaan ataupun di sudut pengertian dan kandungannya.

5. Manusia mestilah mempercayai dan berpegang teguh dengan apa-apa yang diturunkan Allah dalam al-Quran itu.

Waallahu'alam. Setakat ini sahaja SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK

P/S : Buat sahabat-sahabat seperjuangan batch saya Imtiaz Dungun semoga bulan Ramadhan menjadi pembakar semangat kepada kita semua untuk terus mengulang al-Quran di mana sahaja kita berada, InsyaAllah. Moga kita semua berjaya membawa ruh al-Quran di tempat baru, insyaAllah...

Buat sahabat-sahabat di CFS IIUM moga kita sama-sama berjaya mengimarahkan Ramadhan dengan amal ibadah. Suka saya, hari pertama solat di Masjid Putra Nilai yang berapa langkah sahaja jaraknya penuh dengan hamba Allah. Moga-moga mampu kita kekalkan sehingga ke akhirnya, insyaAllah. 

Suasana Imtiaz Dungun Atas yang dirindui...~

Share

Tiada ulasan: