Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Jumaat, 21 November 2008

ASH-HURUL HURUM: ANTARA SEDAR DAN TIDAK………

Tulisan Ustaz Muhammad Syukri Muhamad Nazar

Tidak dinamakan manusia itu dengan ‘insan’ melainkan kerana sifatnya yang pelupa. Itulah antara ilmu penting yang biasa disebut kepada kita semua oleh para alim ulama’. Allah Taala yang mencipta, menghidupkan, mematikan, memberi rezeki kepada manusia sangat memahami keadaan makhlukNya. Islam yang dibawa melalui Rasul-rasulNya ‘Alaihimussolatuwassalam sebagai duta penghubung antara Allah Taala dan hambaNya menjadikan ‘tazkirah’ dan amalan saling menasihati sebagai penawar yang mujarab kepada sifat kekurangan ini. Iman dan amal soleh merupakan dua anasir penting yang membuahkan amalan memberi ‘tazkirah’ atau peringatan sesama Muslim atas landasan ukhuwwah imaniah; semuanya adalah hasil rahmat Allah kepada hamba-hamba yang dipilih olehNya..

Firman Allah Taala;

“ Oleh sebab itu, berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat. Orang yang takut (kepada Allah) akan mengambil peringatan itu. Orang-orang yang celaka akan menjauhinya”

[ al-A’alaa: 9-11]

Sedarkah kita bahawa sekarang kita semua berada di penghujung bulan Zulkaedah, salah satu dari empat bulan suci yang disebut oleh Allah dalam al-Quran?

“ Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah sebanyak dua belas bulan dalam ketetapan Allah ketika Dia mencipta langit dan bumi, antaranya empat bulan suci (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab)…..”

(at-Taubah: 36)

Pensyariatan empat bulan suci oleh Islam memberi satu gambaran bahawa Islam merupakan agama yang sangat mengambil cakna mengenai peredaran masa. Setiap saat dan setiap detik yang berlalu adalah sesuatu yang sangat berharga yang perlu di jaga oleh para muslim. Para sahabat Radiallahu’anhum dan para ulama’ sentiasa mengambil cakna setiap saat yang berlalu dalam hidup mereka kerana mereka sangat memahami pesanan dan peringatan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam mengenai ancaman kepada manusia yang terpedaya dengan kehidupan duniawi yang penuh dengan tipu daya.

Imam Baihaqi Rahimahullah pernah meriwayatkan mengenai kepentingan menjaga peredaran masa dan bulan-bulan suci dalam Islam sebagaimana yang disebut dalam ‘kitab Fadhail al-Auqat’ dengan sanadnya yang bersambung kepada Ibnu ‘Abbas Radiallahuanhuma;

“ Sesungguhnya Allah Taala menjaga kesucian ash-hurul hurum dan Dia menjadikan pahala berganda dalam ash-hurul haram atas amalan kebaikan, dan Dia menjadikan balasan juga berganda untuk amalan keburukan”

Pencaknaan Islam terhadap masa dibuktikan lagi menerusi Kalam Sayyidina Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam. Sabda Baginda Sollallahu’alaihiwasallam;

“ Dua nikmat yang kebanyakan manusia terleka dengannya; kesihatan dan masa lapang”

(Riwayat Imam Bukhari, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas Radiallahu’anhuma)

Antara hadis lain yang berkaitan dengan hadis di atas adalah hadis yang sangat masyhur yang mafhumnya berbunyi :

“ Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara…………………”

Dalam hadis di atas empat perkara yang khusus berkaitan dengan masa disebut oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam; masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang masa ajalmu.

Asy- Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah telah mengarang kitab ‘ Qiimatuz Zaman ‘Indal Muslimin’ dan ‘ Sofahaat Min Sobril Ulama’ yang banyak mengisahkan kecaknaan para ulama’ terhadap masa dan ilmu. Para penuntut ilmu secara khususnya dan umat Islam secara amnya sepatutnya menjadikan dua kitab ini sebagai buku motivasi untuk membina semangat terutamanya dalam usaha mencari ilmu yang diredhai oleh Allah.

Ulama’ yang meninggalkan ilmu dan teladan yang baik kepada semua umat Islam ini memberi suatu gambaran yang terbaik dalam kitabnya tentang kaitan kepentingan menyusun waktu bagi diri setiap insan yang dahagakan ilmu pengetahuan dan dalam masa yang sama mengharapkan Allah Taala meredhai setiap usaha yang dilakukannya. Tidak ada lagi penterjemah kepada sunnah yang ditinggalkan oleh Rasululullah Sollallahu’alaihiwasallam selain para ulama’ yang sentiasa ikhlas dalam setiap amalan dan tindakan. Ulama’ pewaris Anbiya’.

Firman Allah Taala;

“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan saling berpesan ke arah kebenaran dan saling berpesan ke arah kesabaran”

Share

Tiada ulasan: