Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Khamis, 18 Disember 2008

Pengajaran [2] dari Hadis yang menceritakan kisah lelaki yang menziarahi saudaranya kerana Allah Taala

Tulisan Ustaz Muhammad Syukri Muhamad Nazar
Cairo, Al-Qahirah
Daripada Abu Hurairah Radiaallahu'anhu, Nabi Sollallahu'alaihiwasallam;

"Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; kemana kamu ingin pergi? Dia berkata; Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab; Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata; Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya"
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr,
bab yang menyatakan kelebihan cinta kerana Allah)

Pengajaran daripada hadis;

Sesungguhnya bagi ukhuwwah itu ada hak-hak dan kewajipan yang perlu dijaga.
Semoga apa yang dapat difahami dari kata-kata lelaki soleh itu; {Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala...}; menunjukkan kepada perlunya menjaga kewajipan berukhuwwah antara dua sahabat yang bersaudara supaya ukhuwwah itu mampu dikekalkan. Lelaki soleh itu merasakan wajib ke atasnya untuk menjaga ukhuwwah ini lalu dia menziarahi saudaranya. Oleh yang demikian, ukhuwwah Islamiah mempunyai hak-hak dan kewajipan yang perlu ditunaikan.

Antara hak-hak berukhuwwah;

1) Mengambil cakna hal-hal saudaranya semuslim sepertimana dia menjaga hal dirinya.

Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwasalalam;

"Bukan dalam kalangan kami orang yang tidak mengambil cakna urusan umat Islam"

"Tidak sempurna keimanan seseorang dari kamu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri"

Hendaklah dua orang yang bersaudara itu tolong menolong antara satu sama lain serta menunaikan hajatnya apabila dia memerlukan bantuan. Bahkan dalam sesetengah keadaan hak saudara itu perlu diutamakan dari hak sendiri

Firman Allah Taala;

"dan mereka (kaum Ansar) mengutamakan kaum-kaum Muhajirin dari diri mereka sendiri..."

Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwassalam;

"Sesiapa yang menyelesaikan satu masalah orang yang beriman dari masalah dunia, Allah Taala akan melepaskannya dari masalah di Hari Kiamat. Barangsiapa yang memudahkan satu kepayahan, Allah Taala memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa yang menutup aib saudaranya, Allah Taala menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah Taala akan sentiasa menolong hamba itu selagimana hamba itu menolong saudaranya"

2) Menjaga lidahnya dari mengucapkan kata-kata yang boleh menyakitkan. Tidak mengucapkan sesuatu kata-kata melainkan ucapan kebaikan.

Jauhi dari mengumpat, menghina, su'u zonn kepada saudara sesama muslim. Panggilah namanya dengan panggilan yang disukai. Amalkan sikap memaafkan sesama saudara supaya hubungan terjaga. Dalam masa yang sama, elakkan dari menyakiti hati sesama Muslim.

Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwasalam;

Seorang lelaki telah bertanya Rasulullahu sollallahu'alaihiwasalam: Muslim manakah yang baik? Rasulullah Sollahu'alaihiwasalam menjawab; Sesiapa yang selamat para Muslim yang lain dari kejahatan lidah dan tangannya."

3) Menolongnya apabila dizalimi dan menahan kezalimannya

Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwasalam;

"Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi".
Sahabat bertanya, kami boleh menolong saudara yang dizalimi, bagaimana kami ingin menolong saudara yang zalim. Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwasalam; "Sekatlah kezaliman yang dilakukannya"

Share

Tiada ulasan: