Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Selasa, 23 Disember 2008

Penghujung 1429H

Lemahnya diri ini
Baru sikit Allah menguji
Sudah rebah tak mampu berdiri

Lemahnya diri ini
Baru saja bayu dunia menyapa pipi
Sudah melayang tak sedarkan diri

Lemahnya diri ini
Baru sekelumit keindahan wajah diberi
Sudah mula lupa diri

Lemahnya diri ini
Baru sikit kejayaan diberi
Sudah lupa siapa yang beri

Lemahnya diri ini
Baru sikit buat kebaikan
Riak dan ujub bersorak riang

Lemahnya diri ini
Bila suatu kebajikan dimulakan
Tak berdaya nak teruskan
Tiada istiqamah dalam amalan

Lemahnya diri ini
Baru diuji dengan seorang lelaki/wanita
Iman sudah bisu menyepi
Nafsu pula mengawal diri

Lemahnya diri ini
Jalan dakwah kata nak tempuhi
Baru saja melangkah kaki
Beberapa tapak sudah berhenti

Lemahnya diri ini
Nikmat anugerah Ilahi
Biar sudah tak terhitung lagi
Tapi masih lupa mensyukuri

Lemahnya diri ini
Asyik lagha dengan urusan duniawi
Tak pernah khuatir amalan diterima
Atau dipaling

Lemahnya diri ini
Bagaimana nak sahut seruan jihad?
Baru sikit dilukai
Sudah menangis meratapi
Lemahnya diri ini
Lupa matlamat lupa syari’at
Terkejar-kejar yang tak pasti
Leka dibuai syaitan terlaknat

Lemahnya diri ini
Asyik ketawa tak kering gusi
Lupa menangis mengingat MATI…

Ya Allah… Lemahnya diri ini.. Kami pohon kekuatan daripadaMu Tuntunilah langkah kami Biar hanya mampu merangkak Itu pasti lebih baik Daripada terus rebah dalam kaku Berikan kami peluang Merentasi jalan yang Engkau redhai Ampunilah kekhilafan semalam Atas kejahilan kami mengenal makna Kasih sayangMu...Ya Rabbal’alamin.

Ana mulakan tulisan kali ini dengan puisi di atas. Masih diri ini ingat puisi ini pernah dimainkan di Musolla At-Taqwa SM Imtiaz Dungun tempat diri yang lemah ini berkhidmat sebagai Exco BADAR pada tahun ini. Puisi ini dimainkan sempena malam keinsafan II salah satu agenda Program Minggu Tarbiyyah. Sungguh lemah diri ini dalam mengharungi segala uijan Allah Taala. Sedikit lawak bila diingat kembali waktu ini. Ana bukan hendak bercerita tentang ini pada hari ini.

Ana memohon kemaafan di penghujung 1429H ini atau pun tahun 2008 ana mungkin tidak aktif lagi dalam menulis dan mengeluarkan pendapat. Diri ini bukannya sibuk, tapi sungguh masih banyak yang perlu ana selesaikan dan perlu diutamakan serta difikirkan sebelum tiba tahun yang akan datang. Tahun yang ana rasa cabarannya sudah dapat ana rasa walau ia belum tiba. 30hb ini bakal menentukan adakah diri ini layak untuk meneruskan pengajian di SM Imtiaz Dungun? Walaupun hanya penentuan sekolah menengah tapi bagi ana ia seperti antara hidup dan mati. Ke mana lagi diri ini akan pergi? Satu borang pun ana tidak minta apatah lagi mengisi. Hanya doa yang mampuku lakukan sekarang.

Kali ini ana menulis dalam keadaan mata yang hendak tertutup dan banyak perkara yang tidak diselesaikan lagi. Lemahnya diri ini firman Allah Taala yang bermaksud kami ciptakan manusia dalam keadaan yang lemah. Dalam kekalutan yang berlaku, segala dokumen yang penting dan pelbagai kertas kerja yang ana simpan dalam pendrive tetiba sahaja hilang. Allah...Tidak terkata diri ini. Walauapapun it is not the end of the world (kalau salah betulkan sendiri la). Segalanya ana terpaksa mencari balik dan kertas-kertas kerja itu pasti terpaksa dibuat semula. Nampaknya buat kerja dua kali la. Tapi waktu sekarang ana tidak berniat untuk mengumpul kembali dokumen2 itu. Tunggu sehingga betul-betul lapang dan sebenarnya, ana tidak tahu di mana hendak mencari kembali semua itu.

Terbaca (membaca pun ada ter juga er) ana pada satu buku hasil tulisan tok guru, tertarik ana pada prakatanya yang menyentuh tentang ilmu. Ana tertarik pada prakata tidak bermaksud isi buku itu ana tidak membaca. Tapi hanya untuk sekadar perkongsian ringkas pada kali ini.

Qala Allahu fikitabil 'Aziz fissurah Az-Zumar ayat:9 yang bermaksud
"Katakanlah, adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu."

Rasulullah S.A.W bersabda;

"Kelebihan seorang alim ke atas seorang abid laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang"

Betapa hebatnya orang yang berilmu ke atas seorang hamba ibarat bulan purnama yang menerangi seluruh bintang yang ada dilangit ketika waktu malam. Selain harta benda, ilmu yang dimiliki juga merupakan harta yang sangat berharga. Sesungguhnya tanpa ilmu hidup kita akan terumbang-ambing membawa diri di dunia ini. Oleh sebab itu, menuntut ilmu dalam Islam menjadi kewajipan. Dalam Sabda Rasulullah yang lain;
"Menuntut ilmu adalah merupakan satu kewajipan ke atas setiap Muslim"

Di antara wasiat Luqman Al-Hakim kepada anaknya ialah ; Wahai anakku, bergaullah dengan para 'alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua-dua lututmu, sebab Allah S.W.T menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana dia menghidupkan bumi ini dengan hujan lebat dari langit."
(kitab Ihya' Ulumuddin m/s 23)

Rasulullah S.A.W bersabda;
"Apabila datang kepadaku satu hari sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, maka tidak akan di berkati bagiku terbitnya matahari itu."

Cuba bandingkan diri kita, ana kira kita sudah seperti kalis dalam sehari-hari yang dilalui tidak bertambah ilmu pengetahuan yang mendekatkan diri kepada Allah tambah lagi di waktu cuti ini. Rasa tiada apa pun yang kurang dalam hari yang dilalui itu. Dan jua mungkin hari yang dilalui rasa tidak sempurna tanpa sebarang hiburan dalam sehari-hari. Ana bagi contoh diri ana, mungkin dalam sehari jikalau tidak mengadap laptop terasa ibarat tidak lengkap hari itu. Tapi diri ini pernah cuba menggantikan satu hari dengan hanya menjadi hamba kepada Allah dan menuntut ilmu untuk mendekatkan diri kepadaNya sahaja dalam hari itu. Sungguh ia amat bermakna dan terasa hidup benar-benar diisi. Tapi dengan dunia IT juga kita mampu mendapat manfaat sekiranya pandai menggunakan kemudahan ini.

Rasulullah S.A.W menegaskan dalam hadis baginda bahawa orang-orang yang menuntut ilmu kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala dan balasan syurga. Sabda Rasulullah S.A.W;
"Sesiapa yang berusaha melalui satu jalan bagi mendapatkan ilmu pengetahuan, Allah menyediakan untuknya satu jalan daripada jalan-jalan ke syurga".
(Riwayat Abu Daud)

Bersama-samalah pada cuti yang masih berbaki beberapa minggu lagi bagi mereka yang bersekolah, ambillah peluang untuk menambah ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah. Sekarang kita masih lapang dari sebarang bebanan kerja sekolah atau program-program sekolah, jadi sama-samalah kita manfaatkan dengan membaca dan sebagainya. Pesanan ini ditujukan terutamanya buat diri ini yang sentiasa lalai dengan godaan syaitan. Sesungguhnya hamba Allah yang beriman sentiasa bertaubat kepada Allah, ingat pada Allah siang dan malam dan tidak leka dengan apa bentuk godaan sekalipun.

P/S: Ana minta maaf bagi mereka yang meng'tag' ana, kerana ana tidak tahu apa yang perlu ana buat setelah di'tag'.
Share

Tiada ulasan: