Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Sabtu, 3 Januari 2009

Ashabul Ukhdud : Keutuhan iman ummah terdahulu

Kisah Ashabul Ukhdud sudah sememangnya selalu kita dengar. Ianya diceritakan oleh Rasulullah secara terperinci di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Nasaa'i dan Muslim, serta disebut oleh ALlah di dalam al-Quran pada Surah al-Buruj yang berbunyi :

[1] Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang;

[2] Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan;

[3] Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan;

[4] Celakalah kaum yang menggali parit,

[5] (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran,

[6] (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,

[7] Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.

[8] Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

[9] Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

[10] Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).

[11] Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.

[12] Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.

Di dalam sahih Muslim, Kitab az-Zuhud wa ar-Raqaa'iq, hadith #7148 diriwayatkan oleh Suhaib bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

Ada seorang raja pada suatu masa dahulu sebelum kamu yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir itu semakin tua, berkata dia kepada raja tersebut, "Sesungguhnya aku sudah semakin tua, maka datangkanlah padaku seorang budak supaya dapat aku mengajarnya ilmu sihir". Maka didatangkan kepadanya seorang budak dan diajarnya. Suatu ketika dalam perjalanan budak tersebut (belajar dgn ahli sihir), dia berjumpa dengan seorang rahib, maka dia duduk di sisi rahib tersebut dan mendengar kata-katanya yang menakjubkan dia. Maka begitulah seterusnya apabila dia hendak berjumpa dengan ahli sihir, dia akan berselisih dengan rahib tersebut dan duduk disisinya. Apabila dia bertemu ahli sihir tersebut, dia dipukulnya (kerana terlewat). Maka budak tersebut mengadukan hal ini pada rahib tadi. Kata rahib tersebut, “Kalau kamu takut pada ahli sihir (kalau2 dipukul), maka katakan keluargaku menahanku. Kalau kamu takut pada keluargamu (kalau2 dipukul), maka katakan ahli sihir menahanku”. Maka begitulah seterusnya hingga pada suatu hari, muncullah seekor binatang yang besar yang menghalang manusia (daripada lalu lalang). Maka berkata budak tadi, "Hari ini aku akan mengetahui siapa yang lebih baik, ahli sihir ataupun rahib". Maka diambilnya sebiji batu dan berkata “ALlahumma kalau perbuatan rahib lebih kau cintai dari perbuatan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini hingga orang boleh lalu lalang seperti sediakala”. Maka dilemparnya (binatang tadi) dan terbunuhlah ia (binatang tadi) hingga membolehkan orang lalu lalang. Maka dia pun pergi kepada rahib dan menceritakan apa yang berlaku. Rahib pun berkata kepadanya, "Wahai anakku, pada hari ini, engkau sudah menjadi lebih baik dariku, hal ehwal dirimu telah sampai kepada satu tahap di mana engkau akan diuji. Dan apabila engkau diuji, maka jangan kau tunjukkan/dedahkan identiti aku."

Kemudian seterusnya, budak tersebut berjaya menyembuhkan pesakit2 kusta dan yang buta, dan mula mengubati orang ramai dari pelbagai penyakit. Maka seorang daripada pegawai/menteri/companion kepada raja tersebut mendengar (hal budak ini merawat orang sakit) sedang dia itu buta, lalu dia datang kepada budak tersebut dengan hadiah yang banyak dan berkata, “Apa yang ada disini semuanya untuk kau seandainya kau dapat menyembuhkan aku”. Kata budak tersebut “Sesungguhnya aku tak boleh menyembuhkan seseorang, tetapi yang menyembuhkan ialah Allah. Sekiranya engkau beriman kepada Allah, aku akan berdoa kepada Allah (supaya menyembuhkan kau).Dia pun beriman kepada Allah dan Allah menyembuhkan penyakitnya. Maka pembesar tadi pergi kepada raja dan duduk bersama-samanya seperti biasa. Maka raja berkata kepadanya, “Siapa yang mengembalikan penglihatan kau.” Pembesar tersebut berkata, “Rabbi”. Raja bertanya “Adakah kau mempunyai tuhan selainku”. Pembesar menjawab “Tuhanku dan tuhanmu ialah Allah”. Maka raja pun menyiksanya tanpa henti sehingga dia memberitahu perihal budak tadi. Maka budak tadi pun dipanggil. Raja berkata, "Wahai budak, telah sampai kepadaku berita tentang sihirmu yang menyembuhkan orang buta dan kusta dan kau berbuat begitu dan begini." Maka berkata budak tersebut, “Sesungguhnya aku tidak menyembuhkan tetapi Allah yang menyembuhkan." Maka raja pun menyiksa budak tadi tanpa henti hingga dia akhirnya mendedahkan identiti rahib. Maka rahib pun diseru oleh raja dan dikatakan kepadanya, “Keluarlah daripada agamamu!” Dia membantah maka diletakkan gergaji di atas kepalanya kemudian digergajinya rahib tadi hingga terputus dua. Kemudian dibawa pula pembesar raja tadi dan dikatakan kepadanya, “Keluar daripada agamamu”. Dia membantah maka diletakkan gergaji di tengah kepalanya dan digergajinya hingga terputus dua.

Kemudian dibawa pula budak tadi dan dikatakan kepadanya “Keluar daripada agamamu!” Dia membantah, lalu diserahkan budak tadi kepada sekumpulan daripada pembantu-pembantu raja tersebut. Raja berkata, "Pergilah kamu semua dengan budak ini ke satu gunung, dakilah gunung tersebut, dan perintahkan lagi supaya budak ini keluar dari agamanya. Jika dia menolak, maka tolaklah dia jatuh dari gunung tersebut." Maka mereka pun pergi ke gunung tersebut dan mendakinya. Berkatalah budak tadi “ALlahummakfinihim bima shi’ta” (YA Allah, selamatkan aku dari mereka dengan apa cara jua yang kau inginkan). Gunung tersebut mula bergoncang hingga menyebabkan semua pembantu-pembantu raja tadi terjatuh ke bawah. Budak tersebut kembali kepada raja sambil berjalan. Raja bertanya kepadanya, “Apa terjadi pada kawan-kawan kamu?”. Budak tersebut menjawab, “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka”. Kemudian budak tadi diserahkan lagi kepada sekumpulan daripada pembantu-pembantu raja tersebut. Raja berkata, "Pergilah kamu dengan budak ini dan bawalah dia menaiki kapal kecil, kemudian apabila kamu sampai ke tengah lautan, perintahkan supaya budak ini keluar dari agamanya. Jika dia menolak, maka tolaklah dia ke dalam laut tersebut. Mereka pun pergi dan berkata lagi budak itu, "ALlahummakfinihim bima shi'ta". Kapal tersebut lalu terbalik, menenggelamkan mereka semua kecuali budak tadi, yang pulang berjalan kaki bertemu dengan raja. Berkata raja kepadanya, "Apa yang terjadi kepada kawan-kawan kamu?". Budak itu berkata, "ALlah telah menyelamatkan aku daripada mereka."

Budak tersebut kemudian berkata lagi kepada raja, "Kamu tidak akan dapat membunuh aku melainkan jika kamu melaksanakan apa yang aku perintahkan kepada kamu." Raja pun bertanya, "Apa dia perintahnya?" Budak tersebut menjawab, "Kumpulkan seluruh rakyat pada satu tanah lapang, kemudian ikatlah aku pada sebatang pokok. Ambillah sebatang anak panah dari bekas anak panahku, letakkan ia pada busurnya, kemudian katakanlah, "Bismillahi rabbil ghulam" (Dengan nama ALlah, Tuhan budak ini), kemudian panahlah aku. Kalau kamu melakukan sedemikian, maka kau akan dapat membunuh aku."

Raja pun memanggil seluruh rakyatnya untuk berkumpul di suatu tanah lapang dan diikatnya budak itu pada sebatang pokok. Kemudian dia mengambil sebatang anak panah dari bekas anak panah budak tadi, diletakkannya ke busur seraya berkata, "Bismillahi rabbil ghulam" dan dilepaskan anak panah tadi hingga terkena pada pelipis budak tersebut. Budak tersebut memegang tempat terkenanya panah tadi kemudian dia pun meninggal dunia. Serentak dengan itu juga, berkatalah seluruh rakyat, "Aamannaa birabbil ghulam! Aamannaa birabbil ghulam! Aamanna birabbil ghulam!" (Kami beriman dengan Tuhan budak ini! Kami beriman dengan Tuhan budak ini! Kami beriman dengan Tuhan budak ini!). Datanglah pembantu-pembantu raja tadi dan dikatakan kepadanya, "Tidakkah kau nampak terjadinya perkara yang engkau takuti selama ini? Sesungguhnya ALlah telah mendatangkan perkara yang paling engkau takuti selama ini, iaitu dengan berimannya seluruh manusia."

Maka raja pun memerintahkan agar digali parit-parit di beberapa laluan penting di kawasan tersebut. Apabila parit-parit digali dan api dinyalakan di dalamnya, dikatakan kepada sekelian manusia, "Sesiapa yang tidak mahu keluar dari agamanya (agama budak tadi) akan dicampakkan ke dalam api atau akan dikatakan kepadanya supaya terjun ke dalam api." Seluruh rakyat memilih untuk dicampakkan ke dalam api dan tidak menukar agama mereka hingga datanglah seorang wanita bersama bayinya yang teragak-agak untuk terjun ke dalam api. Maka berkatalah bayinya yang masih kecil itu kepadanya, "Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya engkau berada dalam kebenaran."

----------------------------------

Kenangkanlah contoh yang ditunjukkan oleh ummah terdahulu akan teguhnya iman mereka walau diuji dengan nyawa mereka sendiri, namun meninggalkan agama ini tidak sekali-kali. Beberapa pengajaran yang boleh kita dapati dari kisah ini ialah:

1) Keimanan kita pasti akan diuji oleh ALlah sesuai dengan ayat-Nya dalam surah al-ankabut ayat 2-3

[2] Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

[3] Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.


2) Tidak melarikan diri dari usaha dakwah bahkan tetap terus berdakwah walaupun menghadapi cabaran yang getir. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh budak tadi, walaupun raja tersebut cuba untuk membunuhnya berkali-kali, namun setiap kali dia terselamat, dia tidak bersembunyi dan melarikan diri bahkan kembali kepada raja walaupun dia tahu raja pasti akan cuba untuk membunuhnya lagi

3) Rela berkorban apa saja untuk menegakkan Islam dan menyampaikan ajaran Islam kepada semua, termasuk berkorban harta dan nyawa.

4) Mendahulukan kepentingan ummah lebih dari kepentingan peribadi. Dalam kes budak tersebut, dia lebih mementingkan agar berimannya seluruh rakyat berbanding keselamatan dirinya sendiri, seandainya pengorbanannya itu menjadi sebab kepada berimannya seluruh rakyat.

5) ALlah memberi pertolongan dan petunjuk kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dalam pelbagai bentuk untuk menambah dan mengukuhkan lagi keimanan hamba-hamba-Nya. Contohnya diizinkan oleh ALlah agar bayi wanita tersebut berkata-kata supaya kembali kukuh pendiriannya, diizinkan oleh ALlah agar budak tersebut terselamat dari ancaman bunuh oleh raja dan pengikutnya dan sebagainya.

---------------------------------

Sahabat,

Sesungguhnya dalam kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa yang dijadikan ALlah ini, ada pengajaran yang sangat banyak untuk kita semua mendekatkan diri kepada ALlah dan menambahkan lagi ketaqwaan serta keimanan kita pada-Nya. Persoalannya, sejauh manakah kita telah mencontohi perwatakan mereka yang teguh imannya ini? Kita yang rata-ratanya lahir sebagai seorang Islam, mungkin ada yang take for granted anugerah nikmat Islam dan Iman yang telah ALlah kurniakan pada kita. Berapa ramaikah di antara kita yang menghargai Islam dan Iman kita seperti mana mereka yang telah disiksa kerana keimanan mereka suatu ketika dahulu? Mereka dibunuh kerana berimannya mereka kepada ALlah, mereka disiksa kerana tingginya taqwa mereka kepada ALlah - and for no other reasons.

Hargailah nikmat yang ALlah berikan pada kita ini, dan tetaplah berada di atas jalan-Nya yang lurus. Perjuangkanlah Islam di mana jua kita berada walau terpaksa berkorban nyawa sekalipun.

--------------------------------
Adakah kita sudah sampai ke tahap iman dan taqwa seperti budak itu dan mereka yang dicampakkan ke dalam api? Tepuk dada perbaharuilah iman...
Share

Tiada ulasan: