Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Ahad, 1 Mac 2009

Tazkirah buat diri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 

         Terasa benar-benar mahupun cukup-cukup berserabut di dalam kepala, bermacam benda yang terpaksa difikirkan. Tulisan kali ini, InsyaAllah ana kaitkan dengan kehidupan ana sepanjang awal tahun ini, tapi ana mengaplikasikan sebagai tazkirah. Cuma tulisan kali ini, bagi ana ia sedikit sukar kerana bukan semua yang boleh diperkatakan dan ana mungkin lebih banyak menggunakan maksud yang tersirat. Sekiranya dapat mengambil apa yang baik, ambillah ia dan sekiranya ada kesilapan pada artikel ini, ana mohon teguran. Sesungguhnya ana hanyalah insan yang lemah, yang sentiasa melakukan kesilapan dan diri ini masih banyak ilmu yang perlu dituntut.

 

         Untuk tahun ini ana menyambung kembali hafazan ana bermula awal surah Al-Ankabut, walaupun sepatutnya ana mulakan dengan mukasurat kedua surah ini. Tapi tidak mengapalah tasmi' 2 kali pun. Ana tertarik untuk menyentuh ayat kedua dari surah tersebut yang berbunyi:

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ

 (Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan

"kami telah beriman" dan mereka tidak diuji?)

Bukan senang untuk menjadi orang yang beriman. Apakah kita selama ini ingat hanya dengan kata-kata itu kita sudah mampu membuktikan keimanan kita? Kita pasti akan diuji setinggi mana tahap keimanan kita, semampu mana kita menerimanya.

 

         Ujian Allah datang dalam pelbagai cara, terkadang apa yang berlaku datang tanpa pernah kita sangka atau mengagak. Tetapi ingatlah ayat Allah Taala dalam surah Al-Baqarah:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"

 

         Terkadang terasa diri ini benar-benar keseorangan dalam jalan ini. Tiada tempat untuk mengadu segalanya. Tapi teringat ana pada jawapan Nabi Ya'kub A.S dalam surah Yusuf:

قَالَ إِنَّمَآ أَشۡكُواْ بَثِّى وَحُزۡنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ

((Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah)

Sesungguhnya Allah Taala itu maha berkuasa dan maha mendengar. Cukuplah Allah Taala menjadi tempat kita mengadu kesusahan dan mohonlah petunjuk dari-Nya agar kita ditunjukkan jalan yang betul. Persoalan di sini di mana untuk diri ini melepaskan tekanan yang menimpa? Ada mereka yang menjawab kepada ana, pergilah sertai halaqoh-halaqoh yang boleh dikatakan membingitkan telinga atau menyebabkan kita ketawa. Benarlah, ia boleh menghilangkan tekanan cuma ia hanyalah sekadar sebentar.

أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

(dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang)

Kebiasaannya pergilah diri ini mencapai Al-Quran, dan cuba untuk membacanya, tapi Ya Allah, mengapa tidak mampu ana teruskan bacaan ini? Ada yang berkata pada ana, ketika menghafal mahupun murajaah jangan difikirkan perkara lain, diri ini cuba menjauhkan fikiran ini daripada mengingati segala masalah yang berlaku, tapi mengapa tidak berhasil? Ini masih lagi menjadi tanda tanya buat ana, bagaimana untuk melepaskan fikiran dari perkara lain ketika menghafaz mahupun murajaah?? Mungkin jua diri ini terlalu banyak melakukan dosa. Teringat ana satu pepatah arab (kalu salah tolong perbetulkan) yang lebih kurang begini maksudnya:

 

'Tidak ada yang kecil dengan berterusan, Tidak besar bersamanya mohon keampunan"

 

Pepatah ini ingin mengatakan bahawa, tiada dosa kecil apabila kita melakukan ia dengan berterusan dan tidak ada dosa besar sekiranya kita memohon keampunan.

 

         Jalan jihad bukanlah satu perkara yang senang. Biarlah di dunia banyak dikeluarkan air mata, moga di akhirat tidak. Seorang junior ana, mengajukan satu soalan kepada ana masih ana ingat soalan itu, "Mengapa kita hidup untuk kesenangan orang lain, sedang kita tidak gembira". Ana lupa jawapan yang ana berikan kepada dia, soalan ini buat ana tergamam kerana pernah dahulu diri ini menanyakan diri ini sendiri soalan yang lebih kurang dengan ini maksudnya. Berapa sangatlah nilai hidup di dunia ini jika hendak dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi? Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

 

'….kalaulah dunia ini sama (nilainya) disisi Allah dengan sehelai sayap nyamuk nescaya Allah tidak memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air pun'

(H.R at-Tarmizi)

 

         Masih banyak sebenarnya persoalan yang bergolak dalam diri ini. Pernah jua tertanya mengapa ana tidak boleh membuat keputusan untuk diri ana sendiri? dan ana bertanya kembali pada diri ini, Mengapa mahu diungkit kembali tentang itu sedang ana sendiri tidak tahu apa yang terbaik buat diri. Semoga pilihan yang telah dibuat selama ini adalah yang terbaik buat diri ana, biar ia terasa perit untuk dilalui.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌

 وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ

وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

 

         Cukuplah ana berhenti di sini sahaja untuk tulisan kali ini. Inilah cara ana, sekiranya tekanan atau masalah hadir, ana akan bermonolog dalaman dengan diri sendiri. Sekiranya ada kesilapan samada yang disengajakan mahupun tidak, ana mohon peneguran dan InsyaAllah ana akan usahakan untuk memperbetul. Tulisan kali ini adalah tazkirah buat diri ini, moga diri ini mampu meneruskan perjuangan ini. Doakan ana agar tidak mudah futur dan tidak mudah berputus asa.

لَا يَاْيۡـَٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ

"tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"

 

Wallahu'alam…


Share

Tiada ulasan: