Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Jumaat, 17 Julai 2009

Selamatkan Pendidikan Agama sekarang!

Berita di bawah ini telah disiarkan pada 18 Jun 2009, cuma saya tidak dapat untuk memberikan pendapat tentangnya dek berada di sekolah. Ia memberikan kami kegembiraan yang teramat sangat bagi kami pelajar aliran sains agama. Terima kasih kerajaaan (sekali sekala menyokong kerajaan) kerana memberikan kami peluang ini sekiranya tidak maka tiada keistimewaan mereka yang mengambil aliran sains agama.

Pada malam sebelum diumumkan kenyataan ini, saya dan beberapa orang sahabat saya ada berbincang dengan guru-guru seandainya kami calon SPM 2010 hanya dapat mengambil 10 subjek sahaja. Ternyata berkemungkinan besar sekolah akan menggugurkan mata pelajaran Pendidikan Al-Quran dan As-sunnah & Pendidikan Syariah Islamiah dan kami terpaksa mengambil Pendidikan Islam sahaja bukannya pelajar dibenarkan memilih untuk menggugurkan salah satu mata pelajaran Sains.

Ini mengingatkan saya kepada ucapan bekas Mudir kami yang pernah berkata di dalam perhimpunan sekolah yang terakhir dihadirinya " Saya bimbang sekiranya saya tiada di sini siapa yang akan mempertahankan mata pelajaran agama. Pada hari ini, terdapat banyak sekolah dan Maahad yang menggugurkan mata peljaran diniyyah untuk memberi peluang kepada mata pelajaran Sains."

Sememangnya Sains itu juga penting, namun walau macam mana sekalipun pelajaran agama perlu dititik beratkan. Ketahuilah kita pada hari ini ketandusan mereka yang berilmu agama. Alangkah baiknya sekiranya kita mampu melahirkan jurutera, doktor, akauntan dan sebagainya yang meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah di atas.

Setiap perkara yang kita buat, letaklah Agama sebagai platform yang utama dalam diri kita. Seandainya nanti masih ada isu seperti ini, marilah kita mempertahankan mata pelajaran agama, dan lebih baik sekiranya kita mampu mempertahankan kedua-duanya yakni Al-Quran dan Sains. Buat pelajar, mata pelajaran Agama dan Sains bukannya satu bebanan bagi kita mahupun ditambah dengan hafazan Al-Quran, InsyaAllah.

Pada hari ini juga heboh dengan sekiranya tidak berjaya mendapat A dalam subjek BI maka, pelajar tidak dapat mengambil slip SPM. Setelah membaca NST di dalam bilik guru, saya sedikit bersetuju apabila dinyatakan dalam paper bagi mereka yang tidak lulus sahaja bukannya mereka yang tidak mendapat A. Mengapa BI terlalu dititik beratkan?? Adakah hanya kerana ia adalah bahasa International?? Begitu juga dengan isu PPSMI (tak nak ulas panjang). Alangkah bernasib baiknya kita, Allah Taala tidak mengatakan hanya mereka yang fasih berbahasa arab salah satu syarat untuk masuk ke SyurgaNya.

Calon SPM Aliran Sains Agama Dibenarkan Ambil 11 Subjek


Timbalan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin di sidang media sewaktu menghadiri Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Beliau mengumumkan pengecualian diberi kepada calon SPM aliran Sains Agama untuk mengambil maksimum 11 mata pelajaran bagi peperiksaan itu pada 2010. Walaubagaimanapun, 10 mata pelajaran maksimum SPM bagi tahun 2010 yang ditetapkan sebelum ini masih kekal untuk calon lain. Foto: Anuar Isman
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains Agama untuk mengambil 11 mata pelajaran maksimum bagi peperiksaan itu tahun depan.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun, 10 mata pelajaran maksimum SPM bagi tahun 2010 yang ditetapkan sebelum ini masih kekal untuk calon lain.

"Kementerian bersetuju dengan rayuan daripada pihak pentadbir Sekolah Menengah Agama supaya pelajar diizinkan mengambil 11 mata pelajaran, ia merupakan pengecualian terhadap pelajar yang perlu mengambil aliran Sains dan Agama sekaligus," kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, dalam sidang media sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan delegasi Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Muhyiddin berkata pengecualian itu hanya untuk peperiksaan pada tahun 2010 dan akan kembali kepada 10 mata pelajaran maksimum bagi calon aliran Sains Agama pada tahun 2011.

"Ini kerana mereka tidak boleh tukar (mata pelajaran) dengan segera, tetapi mulai 2011 semua calon akan ambil 10 mata pelajaran sahaja, maknanya kita beri tempoh kepada sekolah agama untuk membuat pengubahsuaian dan calon memilih mata pelajaran yang benar-benar dikuasai mereka," katanya.

Beliau berkata selain empat mata pelajaran teras yang diambil oleh calon aliran berkenaan, tujuh mata pelajaran elektif yang diambil ialah Al-Quran, Sunnah, Bahasa Arab Tinggi, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.

Muhyiddin berkata keputusan itu diharapkan dapat menyumbangkan kepada pembinaan modal insan yang bukan sahaja mempunyai kekuatan "pendidikan pengetahuan" tetapi juga "pendidikan insaniah".

Beliau berkata di samping itu, ia akan menolak sesetengah persepsi yang mengatakan Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan.

"Jika ambil sejumlah (mata pelajaran) yang banyak itu, sudah pastinya ia menjurus kepada keputusan yang baik dan ia menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan, maka kita akan bangunkan potensi murid dalam jurusan yang dipilih secara lebih intensif dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata dengan itu guru dan pelajar juga akan mempunyai lebih masa untuk menjalankan aktiviti kokurikulum yang pastinya mampu membangunkan potensi akal, jasmani dan emosi pelajar secara seimbang dan selari dengan falsafah pendidikan negara.

Kementerian baru-baru ini mengehadkan sejumlah 10 mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan SPM bagi memastikan keadilan dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Bagaimanapun, 21 kesatuan dan persatuan guru seluruh negara baru-baru ini membantah dan mahukan had mata pelajaran yang boleh diambil calon SPM ditingkatkan kepada 12 subjek.

Sementara itu, mengenai cadangan kementerian untuk mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan SPM, Muhyiddin berkata hampir 80 peratus daripada keseluruhan maklum balas bersetuju dengan cadangan itu.

"Kita belum ada keputusan, masih mengumpul maklum balas, walaupun hampir 80 peratus setuju dengan pandangan yang saya suarakan, saya minta supaya ada respons dan kita akan buat kajian terperinci," katanya.

Beliau berkata kebanyakan responden yang bersetuju dengan cadangan itu turut menetapkan beberapa syarat antaranya kementerian perlu memastikan tenaga pengajar mencukupi, guru Bahasa Inggeris cukup terlatih dan perlu mengambil kira pelajar di luar bandar.

"Menerusi website kementerian juga kita terima lebih 3,000 pandangan dan mengatakan bahawa idea ini bagus," katanya sambil menolak bahawa kerajaan mengenepikan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi cadangan itu.

Beliau berkata keputusan mengenai cadangan itu mungkin akan dibuat dalam tahun ini juga.

-- BERNAMA
Share

Tiada ulasan: