Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Ahad, 2 Mei 2010

Upload hati


Ketika liqo' baru-baru ini, saya memilih babul qulub untuk dibicarakan. Saya bukanlah orang yang layak untuk berbicara tentang hati cuma sekadar peringatan untuk hati yang gersang ini.

إن الله لا ينظر إلى أجسمكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظر إلى قلوبكم

Hadis ini menunjukkan pada kita Allah Taala melihat kepada apa yang ada di dalam hati kita. Mungkin kadang-kadang perbuatan serta percakapan kita disalahtafsirkan oleh orang lain namun Allah Taala maha mengetahui apa yang tersirat di hati kita. Lazimnya hari ini, anak-anak muda menggunakan hujah 'tengok pada hati ar' untuk melakukan perkara yang ditegah oleh Islam. Perlu diingatkan hati melambangkan zahiriah.

Cuba bayangkan hari ini kita sama-sama pergi ke sebuah syarikat pemprosesan bahan kumbahan bertujuan untuk mengkaji berkaitan bahan-bahan kumbahan contohnya Indah Water (saya sendiri tidak pernah sampai ke sana sekadar berimaginasi). Ketika asyik melawat, tiba-tiba kita terjatuh dalam air kumbahan yang belum diproses lagi. Maka, apakah perkataan yang pertama terlintas di mulut dan hati?

Dalam liqo' ada sahabat-sahabat saya mengatakan mungkin perkataan pertama yang terlintas ialah 'busuknya', 'kotornya' dan ada juga yang ingin menjerit. Saya sendiri merasakan akan menyebut semua-semua ini sekiranya terjatuh. Hatta kalau kita meminta tolong dengan rakan-rakan, barangkali mereka terpaksa berfikir 100 kali untuk mengangkat kita. 100 ketul sabun pun belum tentu mampu menghilangkan bau yang terlekat dalam pada badan.


Hakikatnya, hati kita lebih kotor dan busuk daripada ini. Samalah sekiranya terjatuh dalam kumbahan tersebut kita terpaksa membersih dengan bersungguh-sungguh maka kita memerlukan mujahadah yang tinggi untuk membersihkan hati kita. Perlunya istiqamah dalam diri.

Hati tersangat halus dan ia boleh dilentur. Seandainya diasuh dengan perkara-perkara kemaksiatan seperti mendengar lagu dan rancangan televisyion yang menjauhkan diri dengan Allah justeru hati akan merindui untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat tersebut. Timbullah perasaan tidak lengkap rasanya dalam sehari tidak mendengar lagu. Berbeza dengan hati yang sentiasa bergelumang dengan zikrullah. Dimana sahaja berada tidak senang rasanya tanpa zikrullah. Berasa gelisah apabila melakukan kesalahan.

شكوت إلى وقيع عن سوء حفظي * فأرشدني إلى ترك المعاصي
وأخبرني بأنّ العلم نور * ونور الله لا يُهدى للعاصي


Ini adalah kalam al-imam syafie yang sentiasa kita dengar imam syafie bertanya kepada gurunya waqi' tentang buruknya hafazannya. Namun sejauh manakah penghayatan kita terhadap kata-kata ini. Cukup mendalam syair ini.

Akhirnya, setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini tidak ada satu pun yang tidak berkait dengan akhirat. Semuanya berkait dengan akhirat yang fana. Sama-samalah kita membersih hati kita, InsyaAllah.

Waallahu'alam
Share

Tiada ulasan: