Maaf, layout blog saya bermasalah.
Ada sesiapa yang pandai buang linkwithin di blog? Boleh hubungi facebook saya.

Terima kasih

Selasa, 12 Mac 2013

Sempurnakanlah solatmu!

Suasana pada setiap petang, sungguh mendamaikan jiwa. Kelihatan manusia yang berbaju putih, berseluar atau berkain maroon keluar dari kelas, membawa diri menuju ke surau. Ya, satu arah tujuan, iaitu menyahut seruan Allah.

Tenang, suasana ini. Selepas berpenat-penat dengan urusan dunia, semua cepat menyahut seruan Allah. Waktu persekolahan kami tamat pada 4.35 petang, tamat sahaja sesi persekolahan, kami diwajibkan ke surau untuk menunaikan solat asar secara berjemaah.

Ia merupakan satu peraturan yang dicipta oleh manusia, namun ia peraturan yang mendidik jiwa.

Begitulah saat Nabi Muhammad menghadapi kesukaran, baginda segera menunaikan solat,

Sabda Rasulullah,
 أرحنا بها يا بلال
"Rehatkanlah kami dengannya (azan), wahai Bilal"

Mafhumnya, rehatkanlah kami dengan Solat. Dan baginda, banyak melaksanakan solat apabila berhadapan dengan pelbagai perkara dan kesusahan, agar banyak bertemu dengan Allah.

Bagaimana dengan kita?

Sejauh mana kita peka dengan panggilan Allah?

Masih segar dalam ingatan, jadual yang ditetapkan untuk solat berjemaah di surau sekolah, waktunya tidak banyak berubah. Contohnya, Subuh kami akan solat pada pukul 6 pagi, Zohor pukul 1.50 petang, Asar pukul 5 petang dan lain-lain. Boleh katakan, begitulah jadualnya dari awal tahun sampai ke akhir tahun.

Namun, sepanjang keberadaan di negeri orang. Satu persoalan terbit dalam diri saya;

"Sejauh manakah aku peka dengan panggilan Allah?"

Kalau kehidupan di Malaysia, waktu solatnya tidak banyak berubah. Dalam minda sudah tersedia ada waktu 'khas' untuk kita laksanakannya. Namun di Jordan, waktunya selalu berubah. Hari ini Subuhnya dalam pukul 5 pagi, mungkin lain kali dalam pukul 3 pagi pula.

Ditambah dengan musim yang bertukar-tukar. Kalau panas, benar-benar membahang. Sejuknya pula, benar-benar menusuk ke tulang. Selimut tebal, menambahkan perisa, malas untuk bangkit.

Kerap kali kedengaran kata-kata ini, atau mungkin diri sendiri pernah mengungkapkannya;

"Terlepas Subuhlah hari ini."

"Kejap lagi aku bangunlah, awal lagi la." mungkin kata-kata ini yang dilafazkan apabila digerak bangun Subuh, atau sekadar menyebut;

"Hmmm...."

"Kerja banyak tak siap lagi. Kejap lagi solatlah."

Aduh, begitu sibuknya dengan urusan dunia, sehingga kadang-kadang kita terpaksa meng'ekspress'kan solat untuk memberi laluan kepada urusan dunia.

Lalu, dimanakah ALLAH di hati kita?

Bagaimana tanpa segan silu kita meminta excuse kepada al-khaliq (pencipta)?

Malah, alangkah jeleknya andai kata-kata ini diungkapkan oleh orang yang mengaku mengerjakan kerja-kerja Islam.

Solat dan Sabar

Di sini, saya sertakan sedikit mafhum daripada Tafsir fi Dzhilalul Quran, tulisan Syed Qutb tentang Firman Allah ini;

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٣
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (2:153)

Sesungguhnya, ubat yang paling mujarab dalam menghadapi mehnah dan tribulasi ialah SABAR dan SOLAT. 2 elemen ini antara fokus dalam ayat ini.



Perkataan sabar banyak kali diulang dalam al-Quran. Kerana Allah mengetahui, apabila insan mahu melakukan sesuatu aktiviti secara istiqamah, termasuklah mereka yang melaksanakan kerja dakwah. Tidak dapat tidak berhajat kepada SABAR.

SABAR dalam melaksanakan ketaatan,
SABAR daripada melakukan perkara maksiat,
SABAR menghadapi kesusahan yang diberikan,
SABAR berhadapan dengan tipu daya dan fitnah,
SABAR dengan lambatnya pertolongan sampai,
SABAR dalam menghadapi sebarang konflik dan halangan

Namun, kerana panjangnya tempoh yang terpaksa dihadapi dan hebatnya kesungguhan yang perlu diusahakan.

Pasti, ia melemahkan kesabaran insan yang terbatas ini!

Lalu, bagaimanakah insan perlu mencari kekuatannya?

Dalam keadaan inilah, kita berhajat pula kepada SOLAT.

Ya, solat merupakan tonik buat insan. Di sinilah dia mendapat kekuatan, ketenangan dan kemudahan dalam menghadapi masalahnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah di atas, menggambarkan kepada kita solat itu tempat untuk melepaskan keletihan dan kepenatan kita dengan urusan dunia.

Lihat pula, saat Rasulullah dibebani dengan tugas yang besar dan berat. Allah berfirman;

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡمُزَّمِّلُ (١) قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلاً۬ (٢) نِّصۡفَهُ ۥۤ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلاً (٣) أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلاً (٤) إِنَّا سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً (٥
Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (4) (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (5)
(73:1-5)

Qiamulail dan Quran.

Inilah persiapan yang mesti dibuat saat sebelum menerima tugas yang besar dan berat. Dan patut menjadi kebiasaan saat sedang melaksanakan tugas-tugas ini.

Andai Rasulullah yang merupakan kekasih Allah, yang Allah pasti tidak meninggalkan baginda pun disuruh untuk solat, mencari kekuatan. Lantas, bagaimana kita, seorang insan biasa?

Ia, tidak lain dan tidak bukan, mampu membuka hati, memperkuat hubungan dengan Allah, mempermudah masalah, menyinarkan cahaya serta memberi kelapangan jiwa.

Bahagian akhir ayat yang kita bicarakan ini,

"Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar"

Allah bersama dengan orang yang sabar dengan cara menguatkan, memantapkan serta menjaga mereka. Allah tidak membiarkan mereka putus harapan di tengah jalan, atau meninggalkan hambanya terkontang-kanting sendirian dalam keterbatasannya.

Penutup

Solat itu merupakan tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agamanya.

"Yang paling awal dihisab seorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Apabila solatnya baik, maka baiklah seluruh amalannya. Sekiranya solatnya rosak, rosaklah seluruh amalannya yang lain." 
 -riwayat at-Tabrani-

Jom sempurnakan solat!


Share

Tiada ulasan: